Rujukan terawal Feilong (mitos)

Naskhah-naskhah klasik Cina sering menyebut tentang feilong 飛龍 "naga terbang". Contoh-contoh berikut disusun lebih kurang secara turutan masa.

Yijing

Yijing "Buku Perubahan" (abad ke-5 hingga ke-3 SM) mula-mula menggunakan feilong untuk melambangkan daren 大人 "orang mulia". Qian 乾 "Pencipta", iaitu heksagram pertama, berkata (tr. Wilhelm 1967:9), "Sembilan lima: Naga terbang di angkasa; boleh berjumpa orang besar." Jelas "Ulasan Keputusan" (彖傳, tr. Wilhelm 1967:371), "Oleh sebab orang warak masak akan hujung dan pangkal, berkenaan cara setiap satu daripada enam tingkat itu melengkapkan diri dengan sendiri, maka ia menaiki keenam-enamnya seolah-olah menaiki enam ekor naga", manakala menurut "Ulasan Gambaran" (象傳, tr. Wilhelm 1967:371), "'Naga terbang di angkasa' menunjukkan usaha muliawan."


Hanfeizi

Naskhah Hanfeizi (abad ke-3 SM) (tr. Ames 1983:74) memetik Shen Dao yang membandingkan feilong 飛龍 dengan tengshe 螣蛇 "ular melayang" untuk menjelaskan konsep shi 勢 "kuasa politik; kelebihan strategi" dalam Legalisme:

Shen Tzu berkata: "Naga terbang menaiki awan dan ular melayang berkelana dalam kabus, tetapi setelah awan dan kabus itu lenyap, maka naga dan ular itu menjadi sama dengan cacing dan semut hitam berkepak besar kerana kehilangan tungganggan mereka. Apabila orang besar ditaklukkan oleh orang kecil, ertinya kewibawaan orang besar itu sudah berkurangan dan kedudukan mereka adalah rendah. Apabila orang kecil ditaklukkan oleh orang besar, ertinya kewibawaan orang besar itu lebih hebat dan kedudukan mereka adalah tinggi.

Zhuangzi

Dewa-dewi menunggang naga,[1]

Seorang ahli falsafah Taoisme, Zhuangzi (abad ke-3 hingga ke-2 SM) (1, Watson 1968:33) menyifatkan shenren 神人 "orang suci" yang menunggang seekor feilong:

Kisahnya bahawa terdapat seorang Suci yang tinggal di Gunung Ku-she di jauhari. Kulitnya umpama air batu atau salji, dan orangnya lemah-lembut dan pemalu umpama gadis muda. Ia tidak memakan lima bijian, sebaliknya menghisap angin, meminum embun, memanjat awan dan kabus, menunggang naga terbang, dan berkelana ke luar empat laut. Dengan menumpukan jiwanya, ia boleh melindungi segala makhluk daripada penyakit dan wabak serta memperkaya hasil tanaman.